Selamat Datang ke Portal Rasmi Raudhatul Huda~Membentuk Remaja Acuan Al-Quran~
Cinta ALLAH dan RASULULLAH -Semoga dapat mengambil istifadah dan manfaat dari laman ini-

iklan RAUDHATUL HUDA

Sunday, January 16, 2011

hanya CINTA ALLAH...


"Kalau kamu hanya cintakan manusia, DUNIA dan segala isinya, semua itu mampu mengecewakan hidupmu dan bakal kamu tinggalkan buat selamanya..Tetapi kalau kamu cintakan ALLAH...percayalah kesetiaan ALLAH dalam membalas cintamu tiada tandingannya... malah ALLAH sudah terlebih awal mencintaimu..dan bakal menggandakan cintaNya padamu serta menyediakan kamu mahligaiNya yang abadi di alam hakiki..Berbahagialah sesiapa yang mencintai Allah di tempat pertama....

Friday, January 7, 2011

APA DAH JADI!!!!

Bissmillahhirahmanirrahim...
APA DAH JADI!!!!

Apa dah jadi dengan masyarakat kita bilamana pergaulan bebas yang melampau dibiarkan berlaku dengan berleluasa di kalangan remaja dan belia, malah ada yang memandang remeh terhadap hal yang dilarang oleh Allah ini.

Bagi saya masyarakat Islam sama-sama bertanggungjawab terhadap banyaknya kes anak-anak yang lahir di luar nikah dan pembuangan bayi dalam negara kita. Gejala ini berlaku akibat dari terlalu kurangnya pencegahan maksiat dan mungkar dilakukan oleh masyarakat Islam sendiri...

USTAZ HAJI MOHAMED HAFIZ BIN MOHAMED NORDIN
KETUA PENGARAH RAUDHATUL HUDA PULAU PINANG

"MEMBENTUK REMAJA GENERASI AL-QURAN"

SMS UNTUK PARA REMAJA

Wahai adik-adikku yang disayangi kerana ALLAH, Seandainya kamu benar-benar mencintai ALLAH, buktikanlah dengan mentaatiNya sepenuh hati dan jiwamu serta tinggalkanlah laranganNya...

Seandainya kamu benar-benar mencintai Nabi Muhammad amalkanlah ajaran sunnahnya..senantiasalah berselawat dan salam ke atas Baginda dan keluarganya...


Duhai adik-adikku yang dikasihi kerana Allah..jika kamu mencintai ibu bapamu berbaktilah kepada keduanya sepenuh hatimu...Jika kamu mencintai saudara-saudaramu, Gembirakanlah hati mereka.. jangan berhasad denggi terhadap mereka..sayangilah mereka kerana Allah....

Wahai adik-adikku, sekiranya kamu mencinta dirimu sendiri, Peliharalah dirimu dari melakukan maksiat dan mungkar, Pastikan dirimu dipelihara Allah dari dibakar Jahannam yang marak menyala..

Adik-adikku yang aku sayangi kerana ALLAH..Dengarlah pesananku ini simpankanlah ia baik-baik dalam hatimu...Ku doakan kalian sentiasa di bawah lindungan dan rahmat yang Maha Pengasih Penyayang...

AMIINN YA ALLAH.....

Pesanan Ikhlas Dari...
AYAH HAFIZ..
(RAUDHATUL HUDA)
Januari 2011....

"Membentuk Remaja Generasi Al-Quran"

Tuesday, January 4, 2011

SUMBANGAN KEPADA PUSAT LATIHAN RAUDHATUL HUDA

Assalamualaikum kepada semua. Kepada pihak yang ingin menyumbangkan sebarang sumbangan anda untuk tabung RAUDHATUL HUDA anda boleh menyalurkan sumbangan anda di no akaun :

07043011028091-BIMB
atas nama
PUSAT LATIHAN RAUDHATUL HUDA

Untuk pengetahuan anda semua sumbangan yang disalurkan akan digunakan sepenuhnya untuk membiayai RAUDHATUL HUDA. Sumbangan anda amatlah dihargai. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

OPS SAYANGI REMAJA 2011 "Queensbay seperti Amerika"

"Saya lihat Persiaran Queensbay dah bertukar menjadi seperti Amerika Syarikat dimana pengunjung disini sudah tidak tahu adab dan sopan" itulah luahan rasa Ketua Pengarah Raudhatul Huda, Ustaz Hafiz Nordin yang mengetuai Ops Sayangi Remaja Malam Tahun Baru yang berlansung pada 31 haribulan Disember 2010 yang lalu.

Ops Sayangi Remaja Malam Tahun Baru yang dianjurkan Badan Amal Raudhatul Huda dengan kerjasama beberapa badan Islam. Tujuan Ops Sayangi Remaja Malam Tahun Baru ini diadakan bagi membendung masalah sosial yang melanda anak muda sekarang khususnya anak muda Islam.

Menurut Ustaz Hafiz lagi, sepanjang pemerhatian yang dibuat didapati masalah gejala sosial yang melibatkan remaja dan golongan dewasa yang berusia antara 12 hingga 30 tahun dilihat semakin parah. Mereka sudah hilang rasa malu kepada Allah dan kepada orang di sekeliling mereka. Maksiat yang mereka lakukan dirasa bangga dihadapan orang yang melihat.


Semua sukarela dari pelbagai Pertubuhan-Pertubuhan Islam di Pulau Pinang
sedang khusyuk mendengar taklimat.


Antara sukarela muslimat yang terlibat khusyuk mendengar taklimat 


Semua sukarela dibahagi kumpulan sebelum bergerak untuk pergi berjuang 
membela agama Allah..Semangat kerana ALLAH..
Membenteras masalah sosial.


Sedang baca doa sebelum bergerak...ketika ini jam sudah menunjukkan hampir 
jam 1 pagi..tapi semua sukarela sanggup korbankan masa mereka
hanya kerana ALLAH...


Bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Shahul Hamid


Barisan Pejuang Muslimat yang terlibat pada malam Ops Sayangi Remaja
Malam tahun Baru...

Pada malam Ops Sayangi Remaja ini telah menarik 70 sukarela dari pelbagai pertubuhan-pertubuhan Islam di Pulau Pinang diantaranya sukarela dari Raudhatul Huda,Persatuan Islam Darul Tahzib, Pertubuhan Kebangsaan Ketuanan Melayu (PEWARIS), Gabungan Bela Hak Insan, Unit Amal Pulau Pinang dan Persatuan An-Nisa' Pulau Pinang. Pada malam ini juga sebanyak 10 000 risalah mengenai bahayanya perbuatan maksiat serta kesannya telah diedarkan.

Pada malam Ops Sayangi Remaja ini hampir 500 pasangan telah ditarbiyyah oleh semua sukarelawan yang terlibat dimana semua pasangan sedang bermesra tanpa rasa malu di sekitar kawasan itu.Menurut Ustaz Hafiz lagi "Kita menemui 2 pasangan yang sedang melakukan aksi-aksi terlarang di tempat awam. Si gadis tanpa rasa segan silunya membiarkan temannya meraba tubuhnya dan mereka lansung tidak mempedulikan orang sekeliling mereka.."

"Saya berharap ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan untuk menangani masalah sosial yang mejadi semakin parah di kalangan remaja sekarang.."

Beliau juga menggesa pihak berkuasa lebih kerap memantau dan mengambil tindakan terhadap remaja yang melakukan kesalahan supaya masalah sosial ini dapat dibendung..

"MEMBENTUK REMAJA GENERASI AL-QURAN"




Sunday, January 2, 2011

Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyah di lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini. 

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan belemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya. nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu... 





  

Saturday, January 1, 2011

TENTANG KAMI "RAUDHATUL HUDA"


Dengan Nama Allah yang amat Pengasih lagi amat Penyayang.
Tiada siapa pun yang tidak tahu betapa remaja-remaja Muslim sekarang ini kebanyakannya bergelar ‘Pesakit sosial’. Akibat dari pergaulan bebas yang semakin tidak dapat dikawal para ‘Pesakit sosial’ ini semakin parah dan sudah mencapai tahap yang sangat kritikal. Semua pihak menunjukkan keprihatinan mereka dengan menawarkan pelbagai ‘ubat’ dan ‘penawar’ untuk merawat ‘Pesakit sosial’ ini..lalu di tengah-tengah kegawatan dan kecemasan inilah RAUDHATUL HUDA (RH) cuba mencelah dan menampilkan diri serta menghulurkan tangan untuk bersama-sama dengan semua pihak dalam membantu merawat ‘Pesakit sosial’ yang sangat parah ini. Pada hemat RH, mereka adalah mangsa keadaan dunia sekarang ini yang sudah agak jauh dari ALLAH yang Empunya Langit dan Bumi. RH dibangunkan di tengah-tengah kegawatan ini bertujuan menampung keperluan rawatan kecemasan ‘Pesakit sosial’. RH berlatarbelakangkan para penggerak sukarelawan yang sangat berkemahiran dalan merawat penyakit sosial. RH menawarkan PERSINGGAHAN REMAJA (kursus khas) selama tiga bulan kepada mana-mana remaja (wanita sahaja), berusia dari 14-20 tahun yang berhajat untuk kembali ke pangkuan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kepada yang berhajat untuk menyertai bolehlah membuat permohonan untuk dipertimbangkan. Hubungi Pengurus RH di talian 019-4748165 / 019-4716165 atau emel: raudhatulhuda10@yahoo.com . RH juga menyediakan perkhidmatan:

* Kaunseling Islam(melalui temujanji)
            * Program Pondok Latihan Kesedaran Diri (PLKD)
            * Latihan Dakwah (LADAM)
            * Program-Program Pembangunan Muslim
            * Wacana dan Seminar-Seminar Islam

Wednesday, December 29, 2010

PONDOK LATIHAN KESEDARAN DIRI (PLKD)

Assalamualaikum kepada semua yang sudi untuk melawat teratak kami RAUDHATUL HUDA (RH). Untuk maklumat semua, RH merupakan sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan program-program yang dikhususkan kepada remaja muslimah. Alhamdulillah baru-baru ini kami di RH telah melakukan satu program yang berkonsepkan PONDOK kepada adik-adik muslimah yang terdiri dari pelbagai negeri.

Program yang diberi nama PONDOK LATIHAN KESEDARAN DIRI (PLKD) ini telah berlangsung selama 2 minggu di teratak kami RAUDHATUL HUDA.



ketika kuliah sedang diberikan oleh ustazah jemputan. Semua
perserta khusyuk memberikan sepenuh perhatian. 


perserta sedang membaca Asma Ul Husna selepas selesai solat
berjemaah bersama-sama  


Makan berjemaah memberikan pengalaman baru kepada semua
perserta. Kenangan manis tak dapat dilupakan yang dapat
mengeratkan silaturrahim.


Keinsafan merantai jiwa setiap peserta. Selepas selesai
sesi muhasabah..

Antara pengisian yang terdapat dalam PLKD ini adalah kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang berpengalaman seperti kuliah Tafsir, kuliah Akidah, kuliah Akhlak, Kuliah Fiqh dan lain-lain lagi. Disamping itu antara pengisian yang ada sewaktu PLKD berlangsung adalah tadarus Al-Quran, bacaan Juz Amma, Hafiz surah-surah, solat jemaah bersama, qiammulail dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat dan terkesan di hati setiap perserta.

Selain itu sewaktu PLKD berlangsung slot MUHASABAH yang diketegahkan juga telah memberikan kesan kepada adik-adik dan bacaan Asma Ul Husna yang dibaca setiap hari dan berulang-ulang kali telah memberikan banyak perubahan dan kesan kepada semua perserta. INSYAALLAH

"MEMBENTUK REMAJA GENERASI AL-QURAN"


Saturday, December 25, 2010

IMAN SEMUT DAN IMAN MANUSIA

IMAN SEMUT....
Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!! 

IMAN MANUSIA??


Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di "interview" oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian: Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya ba hawa rezeki di tangan Tuhan".



Thursday, December 23, 2010

Kisah HASSAN AL-BASRI

Pada suatu hari, terjadi suatu peristiwa yang sangat membekas pada diri Hassan Al-Basri.Ditepi sungai Dajlah, Hassan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di samping mereka terdapat sebotol arak. Hassan berkata, “Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau ia seperti aku!”
Tiba-tiba beliau melihat sebuah perahu di tengah sungai perlahan-lahan tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir mati kelemasan. Dia berhasil menyelamatkan enam daripada tujuh penumpang perahu itu, kemudian ia berpaling ke arah Hassan Al-Basri seraya berkata, “Jika engkau memang lebih mulia dari saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya tolong.Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedangkan saya telah menyelamatkan enam orang.”
Namun sayang, Hassan Al Basri tidak berhasil menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, “Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan”.
Hassan Al-Basri terpegun, lalu ia berkata, “Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah pula saya dari tenggelam ke dalam kebanggaan dan kesombongan.” Orang itu menjawab, “Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan.” Semenjak hari itu, Hassan Al-Basri selalu merendahkan dirinya bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang paling hina.
Antara pengajaran dari kisah ini adalah:
1. Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya.
2. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah, jangan kita menghina orang itu serta cuba mencari keaibannya (dan jangan pula kita redha dengan perbuatannya), kerana mungkin orang itu jahil tentang perbuatannya itu sedangkan kita patut malu pada diri kita sendiri yang telah Allah kurniakan ilmu ini masih juga melakukan perkara-perkara yang Allah larang.
Dua perkara yang patut kita ingat tentang diri kita ialah:
1. Perbuatan baik orang pada kita
2. Perbuatan jahat kita pada orang lain.
Dua perkara yang patut kita lupakan ialah:
1. Kebaikan kita pada orang
2. Kejahatan orang pada kita