BismiLLah,walhamduliLLah,was solatu was salamu a’la RasuliLLah,
5 ribu tahun yang lampau, ALLAH menguji nabi Ibrahim dan Hajar isterinya yang sekian lama berumahtangga tetapi tidak dianugerahkan ALLAH cahaya mata,ujian ini berakhir apabila ALLAH mengurniakan kepada mereka seorang anak lelaki bernama Ismail. Kelahiran Ismail seakan membuka lembaran baru dalam kehidupan berumahtangga sepasang suami isteri ini.
Namun kebahagiaan mereka hanya bersifat sementara bilamana ALLAH memerintahkan nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan anak kesayangannya itu di sebuah lembah yang kering tandus tanpa air mahupun hidupan, tiada manusia yang lalu lalang di tempat itu. Arahan ALLAH itu dipatuhi tanpa berbelah bahagi oleh kedua pasangan suami isteri ini hanya kerana mereka mencintai ALLAH lebih dari mereka mencintai sesama diri mereka sendiri. Ada riwayat mengatakan setelah 12 tahun nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan puteranya, lalu akhirnya ALLAH membenarkan nabi Ibrahim pulang ke pangkuan insan-insan kesayangannya itu. Namun sekali lagi kebahagiaan bersama anak dan isteri yang dikasihinya itu tidak kekal apabila kali ini ALLAH memerintahkan nabi Ibrahim melalui mimpinya agar menyembelih satu-satunya anak kesayangannya itu. Nabi Ibrahim pun bertanya pendapat anaknya tentang perintah sembelih dari ALLAH yang maha Penyayang itu, nabi Ismail menjawab wahai bapaku laksanakanlah apa yang diperintahkan ALLAH dan engkau akan dapati aku di kalangan orang-orang yang bersabar. Lalu nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah sembelih dari ALLAH itu, walau ALLAH menggantikan Ismail dengan seekor kibash sebagai hadiah sebuah korban cinta, namun yang nabi Ibrahim sembelih bukan anaknya, yang nabi Ibrahim sembelih bukan seekor kibash, kerana bukan darah atau daging yang dipersembahkan kepada ALLAH. Hakikatnya yang nabi Ibrahim sembelih adalah cintanya kepada dunia, cintanya kepada anaknya. Malah yang nabi Ibrahim bunuh adalah rasa cinta dalam hatinya kepada selain dari ALLAH. Begitulah bukti cinta agung dua orang insan kekasih ALLAH bergelar nabi lagi rasul yang sanggup membunuh anaknya lantaran cintanya kepada ALLAH, manakala nabi Ismail yang merelakan dirinya dibunuh hanya kerana baginda mencintai ALLAH lebih dari mencintai dirinya sendiri.
Justeru bagaimanakah kita? Saban tahun kita menyembelih binatang ternakan, saban tahun umat Islam membunuh lembu, kambing, unta dan kerbau untuk dijadikan korban, namun apa yang kita sembelih kalau dalam hati kita masih bersarang cinta keduniaan yang tiada kesudahan. Korban apa yang kita laksanakan kalau cintakan kebendaan dan makhluk ALLAH pun masih tidak sanggup kita korbankan demi kecintaan kita semata-mata kepada ALLAH Ar-Rahim. Cintailah ALLAH di tempat pertama dalam hati kita. Contohilah nabi Ibrahim yang rela membunuh anaknya kerana cintanya yang paling utama hanyalah kepada ALLAH demikian juga puteranya nabi Ismail yang meredhokan dirinya dibunuh sebagai korban cinta agung yang tulus suci kepada ALLAH Ar-Rahman dan AR-Rahim. Kita bagaimana..?
Sayang ALLAH selalu
Ustaz Mohamed Hafiz b.Mohamed Nordin
01 Disember 2010
RAUDHATUL HUDA
Butterworth