Selamat Datang ke Portal Rasmi Raudhatul Huda~Membentuk Remaja Acuan Al-Quran~
Cinta ALLAH dan RASULULLAH -Semoga dapat mengambil istifadah dan manfaat dari laman ini-

iklan RAUDHATUL HUDA

Wednesday, December 29, 2010

PONDOK LATIHAN KESEDARAN DIRI (PLKD)

Assalamualaikum kepada semua yang sudi untuk melawat teratak kami RAUDHATUL HUDA (RH). Untuk maklumat semua, RH merupakan sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan program-program yang dikhususkan kepada remaja muslimah. Alhamdulillah baru-baru ini kami di RH telah melakukan satu program yang berkonsepkan PONDOK kepada adik-adik muslimah yang terdiri dari pelbagai negeri.

Program yang diberi nama PONDOK LATIHAN KESEDARAN DIRI (PLKD) ini telah berlangsung selama 2 minggu di teratak kami RAUDHATUL HUDA.



ketika kuliah sedang diberikan oleh ustazah jemputan. Semua
perserta khusyuk memberikan sepenuh perhatian. 


perserta sedang membaca Asma Ul Husna selepas selesai solat
berjemaah bersama-sama  


Makan berjemaah memberikan pengalaman baru kepada semua
perserta. Kenangan manis tak dapat dilupakan yang dapat
mengeratkan silaturrahim.


Keinsafan merantai jiwa setiap peserta. Selepas selesai
sesi muhasabah..

Antara pengisian yang terdapat dalam PLKD ini adalah kuliah agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang berpengalaman seperti kuliah Tafsir, kuliah Akidah, kuliah Akhlak, Kuliah Fiqh dan lain-lain lagi. Disamping itu antara pengisian yang ada sewaktu PLKD berlangsung adalah tadarus Al-Quran, bacaan Juz Amma, Hafiz surah-surah, solat jemaah bersama, qiammulail dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat dan terkesan di hati setiap perserta.

Selain itu sewaktu PLKD berlangsung slot MUHASABAH yang diketegahkan juga telah memberikan kesan kepada adik-adik dan bacaan Asma Ul Husna yang dibaca setiap hari dan berulang-ulang kali telah memberikan banyak perubahan dan kesan kepada semua perserta. INSYAALLAH

"MEMBENTUK REMAJA GENERASI AL-QURAN"


Saturday, December 25, 2010

IMAN SEMUT DAN IMAN MANUSIA

IMAN SEMUT....
Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".
Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!! 

IMAN MANUSIA??


Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di "interview" oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian: Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya ba hawa rezeki di tangan Tuhan".



Thursday, December 23, 2010

Kisah HASSAN AL-BASRI

Pada suatu hari, terjadi suatu peristiwa yang sangat membekas pada diri Hassan Al-Basri.Ditepi sungai Dajlah, Hassan Al-Basri melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di samping mereka terdapat sebotol arak. Hassan berkata, “Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau ia seperti aku!”
Tiba-tiba beliau melihat sebuah perahu di tengah sungai perlahan-lahan tenggelam. Lelaki yang duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu yang hampir mati kelemasan. Dia berhasil menyelamatkan enam daripada tujuh penumpang perahu itu, kemudian ia berpaling ke arah Hassan Al-Basri seraya berkata, “Jika engkau memang lebih mulia dari saya, maka dengan nama Allah, selamatkanlah seorang lagi yang belum sempat saya tolong.Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedangkan saya telah menyelamatkan enam orang.”
Namun sayang, Hassan Al Basri tidak berhasil menyelamatkan yang seorang itu. Maka lelaki itu berkata kepadanya, “Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan”.
Hassan Al-Basri terpegun, lalu ia berkata, “Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah pula saya dari tenggelam ke dalam kebanggaan dan kesombongan.” Orang itu menjawab, “Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan.” Semenjak hari itu, Hassan Al-Basri selalu merendahkan dirinya bahkan ia menganggap dirinya sebagai makhluk yang paling hina.
Antara pengajaran dari kisah ini adalah:
1. Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah padanya.
2. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah, jangan kita menghina orang itu serta cuba mencari keaibannya (dan jangan pula kita redha dengan perbuatannya), kerana mungkin orang itu jahil tentang perbuatannya itu sedangkan kita patut malu pada diri kita sendiri yang telah Allah kurniakan ilmu ini masih juga melakukan perkara-perkara yang Allah larang.
Dua perkara yang patut kita ingat tentang diri kita ialah:
1. Perbuatan baik orang pada kita
2. Perbuatan jahat kita pada orang lain.
Dua perkara yang patut kita lupakan ialah:
1. Kebaikan kita pada orang
2. Kejahatan orang pada kita

Tuesday, December 21, 2010

ETIKA PAKAIAN BAGI MUSLIMAH


´Pakaian Remaja´, jika kita dengar atau baca perkataan tersebut, secara automatik kita akan terbayang cara berpakaian remaja kita sekarang terutama pakaian remaja perempuan. Jenis pakaian yang paling awal tergambar dalam fikiran kita adalah pakaian mereka yang seksi, ketat, terlondeh di sana sini, dan terdedah di sini sana. 

Tidak dinafikan pakaian sedemikian juga dipakai oleh belia dan orang dewasa, namun tumpuan kita kini adalah kepada golongan remaja yang bakal menerajui negara. Cara berpakaian juga mencerminkan akhlak. Jadi ia amat penting untuk dibincangkan bagi menjaga akhlak remaja kita. 

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: 

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)

Daripada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa pakaian sebilangan remaja kita kini bertentangan dengan suruhan dan perintah Allah. Bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan yang demikian asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa ´kononnya´ dan mengikut gaya fesyen terkini. 

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian ´2H´, halal tetapi haram. Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai juga remaja kita yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat. Bagaimanapun, jika diperhatikan ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan ´three quarter´ (tiga perempat) paling ´glamour´ dan popular di kalangan remaja yang bertudung. 

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan. Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak ´bersangkutan´ dan ´berampaian´ di gedung-gedung perniagaan di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja. 

Jika kita kupas ´2H´, memang banyak pengertiannya. Bagaimanapun, satu sahaja lagi yang akan kita perkatakan di sini, pakaian tradisi kita yang telah dieksploitasikan. Baju kurung, misalnya, pakaian rasmi negara kita yang begitu sopan dipandang mata, namun yang menyedihkan kainnya telah dibelah sehingga menampakkan betis ketika si pemakai ketika melangkah. 

Trend ´punk´, ´funky´, ´rappers´, ´gengster´ dan sebagainya juga mempunyai cara pemakaian mereka yang tersendiri. Trend demikian bukan hanya di kalangan kaum lelaki, malah kaum perempuan. Walaupun pakaian remaja lelaki tidak begitu menimbulkan masalah dalam mendedahkan aurat, namun ia tidak sopan malah menjatuhkan maruah budaya kita. Ini kerana pakaian tersebut melambangkan kelemahan pegangan remaja kita terhadap agama dan budaya bangsa. Bangsa asing mentertawakan akan kebodohan dan kelemahan remaja kita kerana dengan mudah mereka dapat mempengaruhi minda remaja kita. 

Sebilangan daripada remaja kita juga, ´lupa´ atau ´tidak tahu´ akan jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya. Golongan seperti ini adalah dilaknat oleh Allah. 

Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki." 

Dengan sedikit contoh pakaian di atas, jelas kepada kita bahawa cara berpakaian sebahagian remaja kita bertentangan dengan cara pakaian budaya Melayu sekali gus bertentangan dengan cara pemakaian yang digariskan Islam, agama rasmi negara kita. Para remaja begitu ghairah untuk mengikut budaya asing yang dianggap moden dan maju. Mereka takut dan terlalu ego untuk dikatakan ketinggalan zaman, kuno, dan berfikiran sempit. 

Islam memang menggalakkan kita untuk terus memajukan diri dan bukanlah menjadi kesalahan jika kita mengikut negara-negara Barat tersebut selagi ia tidak bertentangan dengan tuntutan Islam yang suci. Bagaimanapun, dalam hal pakaian, tidak sesuai untuk kita mengikut mereka, ini kerana pakaian mereka yang jelas bertentangan dengan Islam dan tidak sesuai dengan cara hidup negara kita yang berfalsafahkan Melayu Islam Beraja (MIB). 

Sebagai remaja Melayu Muslim, kita tidak perlu mengikut budaya asing dalam cara berpakaian. Pakaian kita sudah cukup sempurna dan sopan dipandang. Berbaju kurung bagi kaum perempuan, manakala berbaju ´MIB´ dan Cara Melayu bagi lelaki. Namun tidak semua pakaian tradisi tidak sesuai untuk agama Islam. Jika kita lihat pakaian tradisi Melayu, baju kebaya zaman dahulu contohnya, ketat dan antaranya dibuat dari kain kasa sehingga menampakkan kulit si pemakainya. Pun begitu, pakaian tersebut telah diperbaiki dengan rekaan pakaian kebaya labuh. Jadi, kita bolehlah mengenakan pakaian tersebut. 

Di sini tidak bermaksud agar remaja kita sentiasa mengenakan pakaian demikian, remaja kita boleh juga memakai mana-mana pakaian yang bersesuaian dengan situasi dan tempat. Bersukan contohnya, lelaki hendaklah memakai pakaian sukan dan berseluar panjang, manakala perempuan bertudung, berseluar panjang dan berbaju lengan panjang. Begitu juga ketika berjalan bersiar-siar dan makan angin. Walaupun tanpa memakai baju kurung, MIB atau Cara Melayu, remaja kita boleh juga memakai kemeja dan ´blaus´ berlengan panjang. labuh dan tidak menampakkan kulit serta bertudung bagi kaum Hawa. 

Sebenarnya, tiada budaya yang tertentu yang mesti diikut dalam berpakaian. Kita boleh mengikut budaya kita sendiri atau budaya asing seperti budaya Arab dengan memakai jubah atau budaya Cina dan sebagainya selagi ia sopan dan memenuhi garis pandu yang ditetapkan Islam. 

Remaja itu sendiri yang tahu pakaian yang sesuai dengan selera mereka. Tepuk dada tanya selera! Bagaimanapun, paling penting, hukum Islam jangan dipermainkan.



rujukan 

Wednesday, December 15, 2010

PERIBADI INSAN AGUNG



Alkisah…di ujung sudut pasar Madinah Al Munawarah ada seorang pengemis Yahudi buta. Hari demi hari, apabila ada orang yang mendekatinya, dia selalu berkata, "wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu pembohong, dia itu orang gila, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya".


Tetapi tanpa disadari oleh sang pengemis Yahudi buta, setiap paginya Rasulullah Muhammad SAW mendatanginya dengan membawa makanan, tanpa berkata sepatah kata pun.

Rasulullah SAW selalu menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu, walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Begitulah yang dilakukan oleh baginda Nabi pada setiap hari sehingga ajal datang menjemput kekasih Allah SWT itu.

Setelah wafatnya Rasulullah Muhammad SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari sahabat Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya, Siti Aisyah r.a. Beliau bertanya kepada anaknya, "Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku Muhammad yang belum aku kerjakan," ujar sang ayah.

Siti Aisyah r.a pun menjawab pertayaan ayahnya, “Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja".

"Apakah itu anakku?", tanya Abu Bakar r.a. Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung sudut pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," kata Aisyah r.a.

Keesokan harinya, sahabat Abu Bakar r.a pun pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu Bakar r.a mulai menyuapinya, si pengemis itu marah sambil berteriak, "siapakah kamu?". Abu Bakar r.a menjawab, "aku orang yang biasa yang menyuapimu". "Bukan!, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis Yahudi buta itu. Apabila dia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah.

Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan tangannya setelah itu baru dia berikan kepada aku dengan tangannya sendiri," ujar pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a tidak dapat menahan derai air matanya, dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “aku memang bukan orang yang biasa datang padamu” tegasnya. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW.

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a, sang pengemis Yahudi buta pun menangis, lalu berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dan dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Oh tuhanku, dia begitu mulia....

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya mengucapkan syahadat dihadapan Abu Bakar r.a. dan menyatakan keislamannya...Peribadi Rasulullah dapat mengubah yang hatinya keras menjadi air...Subhanallah....

KHALIFAH UMAR ABD AZIZ - PERIBADI ZUHUD PENEGAK KEADILAN

Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula berputik kembali. Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan mengutama saudara sendiri menjadi ciri-ciri baru kerajaan Islam pada masa itu. 

Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah, tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara. Pemimpin-pemimpin Islam sudah pandai bermewah-mewah, melakukan penindasan dan bermegah diri. Sehinggakan Baitul Mal dijadikan sebagai harta peribadi mereka. 

Masyarakat Islam pula semakin kaya dan leka, mereka semakin meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan.

Kasih sayang tuhan mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingin melihat umat Islam tergelincir ke dalam kegelapan. Dalam cahaya suram yang kelam, terpancarlah sinar yang membawa seribu harapan. Khalifah Umar Abdul Aziz menyelamatkan Islam dan umatnya dengan mengembalikan Islam seolah-olah ke zaman permulaannya.

Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’. Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. 

Sejak kecil lagi beliau didik dengan ilmu agama. Minat dan kecenderuangan beliau kepada ilmu, membawa beliau ke kota Madinah. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu. 

Semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: "Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah"

Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. 

Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama sekali, kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.

Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau bawang. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: "Wahai anakkku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?"

Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: "Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya." Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. 

Pernah juga Umar Abdul Aziz datang untuk lewat menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.


Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan. 

Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika, setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tatapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.

Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. 

Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Saidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali radiallahu’anhum. 

Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

The Most Beautiful Asmaul Husna

Wednesday, December 8, 2010

KORBAN CINTA AGUNG

BismiLLah,walhamduliLLah,was solatu was salamu a’la RasuliLLah,

5 ribu tahun yang lampau, ALLAH menguji nabi Ibrahim dan Hajar isterinya yang sekian lama berumahtangga tetapi tidak dianugerahkan ALLAH cahaya mata,ujian ini berakhir apabila ALLAH mengurniakan kepada mereka seorang anak lelaki bernama Ismail.  Kelahiran Ismail seakan membuka lembaran baru dalam kehidupan berumahtangga sepasang suami isteri ini.

Namun kebahagiaan mereka hanya bersifat sementara bilamana ALLAH memerintahkan nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan anak kesayangannya itu di sebuah lembah yang kering tandus tanpa air mahupun hidupan, tiada manusia yang lalu lalang di tempat itu. Arahan ALLAH itu dipatuhi tanpa berbelah bahagi oleh kedua pasangan suami isteri ini hanya kerana mereka mencintai ALLAH lebih dari mereka mencintai sesama diri mereka sendiri. Ada riwayat mengatakan setelah 12 tahun nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan puteranya, lalu akhirnya ALLAH membenarkan nabi Ibrahim pulang ke pangkuan insan-insan kesayangannya itu. Namun sekali lagi kebahagiaan bersama anak dan isteri yang dikasihinya itu tidak kekal apabila kali ini ALLAH memerintahkan nabi Ibrahim melalui mimpinya agar menyembelih satu-satunya anak kesayangannya itu. Nabi Ibrahim pun bertanya pendapat anaknya tentang perintah sembelih dari ALLAH yang maha Penyayang itu, nabi Ismail menjawab wahai bapaku laksanakanlah apa yang diperintahkan ALLAH dan engkau akan dapati aku di kalangan orang-orang yang bersabar. Lalu nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah sembelih dari ALLAH itu, walau ALLAH menggantikan Ismail dengan seekor kibash sebagai hadiah sebuah korban cinta, namun yang nabi Ibrahim sembelih bukan anaknya, yang nabi Ibrahim sembelih bukan seekor kibash, kerana bukan darah atau daging yang dipersembahkan kepada ALLAH. Hakikatnya yang nabi Ibrahim sembelih adalah cintanya kepada dunia, cintanya kepada anaknya. Malah yang nabi Ibrahim bunuh adalah rasa cinta dalam hatinya kepada selain dari ALLAH. Begitulah bukti cinta agung dua orang insan kekasih ALLAH bergelar nabi lagi rasul yang sanggup membunuh anaknya lantaran cintanya kepada ALLAH, manakala nabi Ismail yang merelakan dirinya dibunuh hanya kerana baginda mencintai ALLAH lebih dari mencintai dirinya sendiri.

Justeru bagaimanakah kita? Saban tahun kita menyembelih binatang ternakan, saban tahun umat Islam membunuh lembu, kambing, unta dan kerbau untuk dijadikan korban, namun apa yang kita sembelih kalau dalam hati kita masih bersarang cinta keduniaan yang tiada kesudahan. Korban apa yang kita laksanakan kalau cintakan kebendaan dan makhluk ALLAH pun masih tidak sanggup kita korbankan demi kecintaan kita semata-mata kepada ALLAH Ar-Rahim. Cintailah ALLAH di tempat pertama dalam hati kita. Contohilah nabi Ibrahim yang rela membunuh anaknya kerana cintanya yang paling utama hanyalah kepada ALLAH demikian juga puteranya nabi Ismail yang meredhokan dirinya dibunuh sebagai korban cinta agung yang tulus suci kepada ALLAH Ar-Rahman dan AR-Rahim. Kita bagaimana..?

Sayang ALLAH selalu
Ustaz Mohamed Hafiz b.Mohamed Nordin
01 Disember 2010
RAUDHATUL HUDA
Butterworth